Nazali Noor - Ulu Yam Di Liverpool

FB page ini merupakan FB page rasmi bagi karya motivasi santai Nazali Noor.

Ini sinopsisnya

Catatan Pengarang

Ulu Yam di Liverpool – Hujan Emas Negeri Orang
Apa istimewanya buku ini?
Kenapa Ulu Yam? Apa kaitannya dengan Liverpool?
Pasti ada yang bertanya bagaimana tercetusnya ide menulis cerita ini? Hebatkah? Terujakah pembaca yang membuatkan pembaca akan terus membaca dari muka pertama hingga ke akhir noktah mukasurat terakhir?
Jika itu yang diajukan, jawapan saya adalah “Entahlah”.
Apa yang pasti cerita ini hadirnya dari hati. Bukan cerita hebat insan-insan yang berjaya menakluk dunia dengan pelbagai inovasi. Bukan juga ceritera sarjana agung yang menemui formula yang menggegar dunia.

Ini cerita saya.

Cerita seorang budak kampung dari Ulu Yam yang biasa-biasa sahaja.
Budak kampung anak prebet polis yang punya impian besar untuk mencabar upaya diri.
Budak kampung kaki bangku yang tidak langsung pandai bermain bolasepak tapi minatnya terhadap bolasepak melampaui keupayaan fizikal gempalnya yang seringkali ditertawakan kerana tidak mungkin layak bermain bolasepak walaupun di kalangan rakan rakan sebaya di liga kampung.
Budak dari kampung ulu yang sering diperlekehkan kerana seringkali cuba berbahasa Inggeris di zaman kanak-kanaknya di sekolahnya di Ulu Yam Bharu. Acapkali digelar Mat Salleh celup dan ditempelak kerana lupa asal usul oleh rakan sebaya.
Dia yang di zaman kanak kanaknya menempek menumpang rumah kawan kawan untuk menonton TV hitam putih semata mata untuk menonton bolasepak liga Inggeris.
Budak ini yang sering ternganga melihat ramainya orang mendepang tinggi skaf “Liverpool FC” dan teruja mendengar lagu “You’ll Never Walk Alone” bergema menggegar Anfield.
Denai perjalanan budak kampung ini menggengam azam untuk ke bumi Mersey suatu hari nanti untuk barangkali sekadar bergambar di “Shankly dan Paisley Gate” dan menyampaikan rasa hormat atas kesedihan 96 orang mangsa tragedy Hillsborough di tugu memorial di Anfield.
Kemudian ketika remajanya penuh berwarna warni dengan pelbagai cerita untuk dikongsi kerana dia juga tidaklah dari pelajar bijak bestari.
Berjaya ke universiti dengan hanya cukup cukup makan namun punya personaliti yang ceria. Atas personaliti itu dia kembali mengutip sedikit keyakinan diri. Kembali mengutip iltizam yang denai ke Liverpool dan Anfield mungkin juga tergapai kembali.
Merealisasikan impian kanak-kanak akhirnya pada usia 35 tahun. Berkongsi emosi tatkala merasai indahnya menjejak kaki buat pertama kali ke Anfield. Sama-sama menyanyi lagu keramat Y.N.W.A di Kop stand!
Kemudian menyimpan hasrat untuk merealisasi impian orang lain di tanah air yang ingin ke bumi Mersey merasa keindahan yang serupa.

Berjumpa dengan begitu ramai insan yang juga mempunyai rasa dan niat yang serupa untuk menjejak kaki di padang keramat Anfield.

Mendukung misi dan visi yang kesepaduan penyokong kelab agung Liverpool FC bukan hanya sekadar berkongsi rasa dalam arena bolasepak. Sebagai penyokong bolasepak terhebat di dunia mereka juga mampu menyumbang pada insan yang memerlukan tanpa mengira agama, status sosial dan bangsa.
Mendukung prinsip nikmat hidup dalam memberi – Berkongsi berbakti untuk komuniti.
Menyulam ukhuwwah tanpa prejudis dan saling memupuk semangat persaudaraan.
Bersepadu seiring mengangkat martabat penyokong bolasepak ke satu visi dan misi yang sama.
Inilah intipati buku ini.

Ini cerita cerita kita. Cerita saya, cerita anda, anda dan anda.
Cerita yang selalu didengar tapi tidak pernah dibukukan kerana seringkali merasa ini bukan cerita yang hebat untuk dikongsi.
Mungkin inilah titiknya kita mula perlu sedar dan kongsi.
Bahawa cerita cerita dari hati inilah cerita yang hampir dengan jiwa.
Kerana ini cerita kita. Kerana setiap kita perlukan motivasi dan inspirasi agar diri tidak terasa sunyi dan sendiri.
Cerita impian KOPITE Malaysia yang tertunai yang setiap Bab disulam motivasi santai. Disusul haluan kemana jejak kita seterusnya untuk berkongsi impian kerana impian kita tetap sama kan?

Perasaan ini hanya dimengerti kita! SuperScouse Malaysia.

Perasaan yang kita tidak akan pernah jalan sendiri. You’ll Never Walk Alone!

Ikhlas dari hati
Nazali Noor
10/04/2013

Address & Contact

City:
Liverpool
Website:
http://nazalinoor_UYDL.com
Category:
Writer

Map & Directions

Join on Facebook